Sunday, August 22, 2010

MINGGU 6: JURNAL REFLEKSI

Assalammualaikum dan salam sejahtera kepada Encik Amran dan rakan-rakan blog sekalian. Alhamdulillah kita bertemu kembali dalam refleksi jurnal minggu keenam. Pejam celik pejam celik,minggu keenam sudah berlalu dan perjalanan kuliah masih berjalan seperti biasa. Kuliah minggu ini amat menarik pada saya kerana semua pelajar melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti yang dilakukan oleh Encik Amran. Kuliah minggu ini menekankan kepada dua tajuk utama iaitu Mak Yong dan Kompang. Seperti biasa, sebelum memulakan pembelajaran pada kuliah kali ini, Encik Amran menunjukkan video-video persembahan menora,mak yong,mek mulung dan meminta pelajar-pelajar untuk mengenalpasti jenis-jenis tarian melalui video yang ditayangkan.

Selepas itu,sesi pembelajaran dimulakan dengan penerangan tentang sejarah mak yong. Hari ini saya mengetahui bahawa mak yong sebenarnya merupakan kategori bentuk seni lakon sama seperti menora, mek mulung dan jikey. Mak yong merupakan bentuk seni lakon yang sangat kuno iaitu bertemakan legenda dan mitos. Ia mempunyai asas yang sama tetapi dibentuk melalui identiti dan kepaerluan dramatik yang berbeza. Mak yong juga menggunakan pelakon manusia dan ia mengutamakan dialog,tarian,muzik vokal dan instrumental. Secara keseluruhannya, mak yong ini merupakan satu kisah penceritaan. Drama tari mak yong ini juga merupakan suatu bentuk drama tari melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual,lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental,lagu,cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama tari ini dipertahankan terutamanya di Terengganu, Patani, Kelantan, Kedah,Perlis serta di Kepulauan Riau- Indonesia. Walaupun begitu,mak yong berasal dari patani iaitu di bawah naungan Sultan Muhammad keempat.

Mak yong yang dipersembahkan untuk dua tujuan iaitu untuk tujuan ritual dan tujuan persembahan. Cerita asal mak yong bertajuk Dewa Muda iaitu cerita rakyat. Terdapat 11 buah cerita dan 30 buah lagu repertoire. Antara watak-watak yang terdapat dalam cerita mak yong ialah Pak Yung Muda ( Watak Utama ), Mak yung dan Puteri Makyung, Peran Tua dan Peran Muda serta Tok Wan ( ahli nujum dan tukang). Persembahan Mak Yong yang biasanya dibuka dengan lagu mengadap rebab diikuti dengan tarian,lakonan dan muzik. Kijang Mas dan Lagu Sindung juga merupakan lagu mak yong. Alat-alat muzik utama ialah sepasang gendang, sepasang tetawak dan sebuah rebab 3 tali. Serunai,geduk dan canai merupakan alat tambahan dan rebab berperanan memainkan melodi utama.



Elemen kedua yang ditekankan dalam kuliah minggu ini juga ialah Kompang. Kompang berasal dari kebudayaan Arab di Asia Barat yang dikenali dengan dufuf,daff,duff, tar atau bendir. Fungsinya ialah bagi meraikan perkahwinan,majlis keraian islam,maulidulrasul dan berkhatan dan bagi masyarakat kini ia menyambut ketibaan pemimpin bagi acara rasmi. Kompang dibawa oleh pedagang Arab yang datang berdagang ke nusantara dan bertujuan untuk menarik perhatian pembeli terhadap perniagaan mereka. Terdapat banyak adab permainan kompang dan juga fungsi kompang dalam elemen muzik. Terdapat 4 jenis permainan kompang iaitu kompang hadrah ( negeri perak ), kompang johor, kompang eizhar ( negeri selangor) dan kompang kelalang ( negeri melaka).

Terdapat tiga jenis pukulan atau paluan iaitu melalu,menyilang dan meningkah. Manakala tiga bahagian lain bagi setiap persembahan ialah pukulan mula,pukulan lagu dan pukulan mati. Penjagaan kompang yang rapi perlu ditiikberatkan agar ianya dapat bertahan lama dan begitu juga dengan penalaan kompang bertujuan untuk meninggikan ton bunyi kompang.

Oleh itu, secara tidak langsung saya telah dapat mencapai objektif dan sasaran kuliah pada minggu ini dengan baik. Setelah mengikuti dan meneliti dengan teliti kuliah pada minggu ini,saya berasa lebih yakin kerana telah dapat mengetahui apa itu mak yong dan kompang. Nescaya,jika diberi tugasan berkenaan tajuk ini, saya pasti dapat menerangkannya secara kritikal. Tetapi,saya akan mencari maklumat tambahan dari internet dan sumber-sumber lain agar saya sentiasa peka terhadap perkembangan mak yong dan kompang. Sekian sahaja jurnal saya untuk minggu ini..Moga kita berjumpa lagi dalam jurnal yang akan datang..Sekian terima kasih.
Teruskan Membaca...
 

BLOG PELAJAR KUMP A

BLOG PELAJAR KUMP B

BLOG PELAJAR KUMP C

smp2252 hasmazatul Copyright © 2009 WoodMag is Designed by Ipietoon for Free Blogger Template